Program praktikum saya
kali ini telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Taman Sutera. Sekolah ini
merupakan sekolah yang telah saya bertugas pada tahun lepas dan ini merupakan
praktikum pertama saya. Walaupun mengalami sedikit masalah dari segi kewangan
dan penempatan, saya menganggap perkara ini sebagai satu peluang untuk saya
menimba ilmu. Sudah pasti suasana pengajaran dan pembelajaran akan berubah.
Selain itu, antara
persediaan penting yang telah saya lakukan sebelum menjalankan sesi praktikum
yang pertama ini adalah membuat persedian dari segi mental dan fizikal. Pengalaman
mengajar yang lalu, sedikit sebanyak membantu saya dalam persediaan mental
untuk menempuh kehidupan sebagai seorang guru praktikum. Perasaan takut dan
kekok bukan lagi masalah tapi keinginan untuk lebih mesra dengan warga sekolah
merupakan aspek yang ingin saya tekankan kelak. Saya juga berharap sepanjang
tempoh praktikum ini, saya akan dapat menjalinkan hubungan baik dengan seluruh
warga Sekolah Kebangsaan Taman Sutera. Alhamdulillah, sepanjang setahun saya
berada di sekolah ini, saya dapat membiasakan dengan persekitaran dan suasana
sekolah ini. Hubungan saya dengan guru-guru lain dan pihak pentadbir juga tidak
menghadapai masalah.
Untuk persediaan dari
segi fizikal pula, saya perlulah bersedia untuk sentiasa konsisten datang awal
pada setiap hari sepanjang tempoh praktikum. Walaupun jarak antara sekolah dan
rumah agak jauh iaitu lebih kurang 15km, saya akan pastikan kehadiran sepanjang
tempoh praktikum adalah konsisten awal.
Untuk
praktikum kali ini juga, saya berharap agar dapat sentiasa mengemaskini
portfolio praktikum setiap minggu tanpa bertangguh. Perkara ini penting agar
selepas tamat praktikum kelak, beban tugasan praktikum tidaklah begitu banyak. Untuk
buku persediaan mengajar pula, dengan bimbingan yang jelas dari unit praktikum,
saya kira tiada masalah dari segi kekeliruan akan timbul dan saya berharap agar
segala perancangan pengajaran yang telah saya rancang akan datang dapat
diterima oleh murid dan objektif pengajaran sepanjang tempoh praktikum ini akan
tercapai.
Harapan saya juga
dalam melaksanakan praktikum akan datang, saya berharap agar anak didik saya
dapat membaca al-quran dan juga iqra dengan sebutan yang betul.
Walaubagamanapun, saya perlu membantu anak didik saya supaya mereka dapat
membaca dan menyebut kalimah dalam al-quran. Antara teknik pengajaran yang akan
saya laksanakan bagi memastikan mereka boleh membaca dengan betul ialah melalui
kaedah talaqi mushafahah.
Melalui kaedah ini
saya akan membaca terlebih dahulu dan seterusnya murid-murid akan mengikut
bacaan saya. Disebabkan saya mengajar di kelas murid yang paling lemah, saya
terpaksa membaca satu kalimah ke satu kalimah supaya murid dapat mendengar
sebutan saya dengan jelas dan mereka mampu mengikut. Pegalaman yang lalu telah
mengajar saya iaitu anak murid saya tidak mampu mengikut sekiranya saya membaca
terus untuk melengkapkan satu ayat.
Melalui kaedah ini
juga, saya akan cuba melaksanakan pelbagai aktiviti bagi menarik perhatian
murid supaya mereka tidak bosan semasa pembelajaran berlangsung. Saya bercadang
untuk melaksanakan aktiviti seperti kuiz meneka sebutan potongan ayat dengan
betul. Dalam aktiviti ini, saya akan membaca potongan ayat tersebut dan selepas
itu, saya akan memilih seorang murid untuk kehadapan dengan memilih potongan
ayat yang betul di papan hitam.
Akhir kata, saya
sungguh berharap atas berkat usaha saya dengan diizinkan Allah agar anak didik
saya boleh membaca al-quran pada masa akan datang. Segala usaha yang saya
lakukan demi membantu anak-anak Islam pada masa kini yang mana al-quran semakin
jauh untuk dibaca kerana mereka tidak mempunyai ilmu untuk membaca.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan