Subscribe:

Sabtu, 13 Ogos 2011

Belajar Sejarah Islam


                      LATAR BELAKANG MU’AWIYAH

Namanya yang lengkap ialah Mu’awiyah ibn Abu Sufyan Sakhr ibn Harb ibn Umayyah ibn Abd Shams ibn Abd Manaf ibn Qusay al-Qurashiy al-Amawiy. Beliau juga dipanggil dengan nama Abu Abd Rahman yang merupakan Khal al-Mu’minin dan jurutulis wahyu kepada Rasulullah s.a.w.  Ibunya pula bernama Hind binti Utbah ibn Rabi’ah Abd Shams. Mu’awiyah memeluk Islam pada hari pembukaan Makkah. Dalam satu riwayah yang lain  beliau menyatakan bahawa beliau telah memeluk Islam pada hari Qadiyyah tetapi beliau menyembunyikan keislamanya daripada pengetahuan bapanya. Tetapi  bapanya telah mengetahuinya juga dan bapanya menyatakan bahawa Yazid adalah saudaranya dan bapanya menyatakan lagi bahawa Yazid lebih baik daripada Mu’awiyyah kerana menganut agama kaumnya. Lalu Mu’awiyah menjawab bahawa beliau tidak akan murtad daripada agama yang dianuti itu.(Ibn Khatir 2005)

Selain daripada itu semasa Rasulullah datang ke Makkah untuk mengerjakan Umrah al-Qada’ beliau telah mengakui bahawa Rasulullah s.a.w adalah seorang utusan Allah iaitu Rasul Allah. Semasa Rasulullah datang itu juga beliau telah menemui Rasulullah dan menyatakan keislamannya.  Mu’awiyah menjauhkan diri daripada melakukan urusan-urusan yang berkaitan dengan kepimpinan selepas peperangan Badar. Sebaik sahaja beliau memeluk islam, beliau menjadi penganut yang baik. Beliau telah meninggalkan kesan-kesan yang mendalam dan contoh-contoh yang mulia dalam peperangan Yarmuk mahupun dalam peperangan sebelum atau selepasnya. (Ibn Khatir 2005)

Kematian Mu’awiyah berlaku pada permulaan bulan Rejab tahun ke 60 hijrah. Hal ini dinyatakan oleh Hisham bin al-Kalabi. Ada pula yang berpendapat, pada pertengahan bulan Rejab dan pendapat ini dikemukan oleh al-Waqidi. Al-Mada’iniy pula mencatatkan , pada hari khamis, lapan hari sebelum habis bulan Rejab. Ibnu Jarir menyebut bahawa jumhur ulama menegaskan Mu’awiyah meninggal dunia pada bulan Rejab tahun ke 60 hijrah. tempoh pemerintahannya ialah selama 19 tahun 3 bulan, iaitu bermula daripada bulan Jamadil Awwal tahun ke 41 hijrah selepas Hassan bin Ali berba’yah kepadanya di Adraj. Sebelum menjadi khalifah, beliau telah memangku jawatan gabenor Sham selama hampir 20 tahun. Ada pula yang tidak menyebut tempoh tersebut. Umurnya ialah 73 tahun. Ada pendapat lain yang menyatakan bahawa umurnya ialah 75 tahun atau 78 tahun bahkan ada yang berpendapat 85 tahun. (Ibn Khatir 2005)