Subscribe:

Selasa, 6 November 2012

RUKUN-RUKUN TILAWAH (BACAAN) AL-QURAN





Setiap ibadat mempunyai rukun-rukun yang tersendiri, begitu juga dengan bacaan al-Quran. Rukun bacaan al-Quran ada tiga. 

Sah sanad.

Sanad secara mudah bermakna sandaran, sijil tauliah atau syahadah. Secara lebih khusus iaitu seseorang membaca al-Quran sehingga khatam daripada bimbingan guru-guru yang muttaqin lagi bijaksana dan bersambung sanad-sanad bacaannya sehingga kepada bacaan Rasulullah. Pemeliharaan rukun ini sangat penting kerana bacaan al-Quran merupakan sebahagian daripada sunnah Nabi s.a.w.

Definisi sebenar cara penerimaan sanad untuk meyakinkan bahawa bacaan tersebut adalah datangnya daripada Rasululah s.a.w ialah dengan membaca al-Quran di hadapan guru yang thiqoh (dipercayai), serta keilmuan guru tersebut dalam bidang al-Quran diketahui umum dan guru kepadanya juga terkenal di dalam masyarakat. Inilah dimaksudkan sanad atau sijil ketika menuntut ilmu bacaan al-Quran.

Sanad yang dikenali umum dalam bentuk sehelai kertas yang dinamakan sijil atau tauliah merupakan suatu perkara yang baru. Kewujudannya kerana terhakisnya ilmu daripada hati manusia dan pembohongan serta penipuan berleluasa. Jika diimbas kepada sirah Rasulullah kita dapati orang yang menanggung al-Quran ketika itu adalah mereka yang sangat amanah (sahabat-sahabat). Penerimaan mereka terhadap ilmu yang dipelajari daripada Rasulullah tidak diragui kesahihannya walaupun ketika itu tidak terdapat sijil dan bentuk-bentuk perakuan bertulis yang lain.

Oleh itu untuk mengelakkan keraguan dalam bacaan al-Quran, setiap individu muslim hendaklah mencari kepastian terhadap diri sendiri tentang pembelajaran dan penerimaan di dalam ilmu al-Quran yang dibaca sekarang. Adakah bacaannya menepati sepenuhnya sebagaimana bacaan Rasulullah mengajar para sahabatnya iaitu membaca mengikut kaedah-kaedah tajwid yang ditentukan. Adakah kita membuat kepastian terhadap guru yang mengajar al-Quran kepada kita. Adakah guru tersebut mengambil dan menerima sanad daripada pembacaan al-Quran beliau sebelum ini.

Bertepatan dengan mushaf Rasm Uthmani

Iaitu bacaan-bacaan mesti bertepatan dengan salah satu daripada mushaf-mushaf Rasm Uthmani. Mushaf Kufi adalah salah satu mushaf Rasm Uthmani dan digunakan secara meluas di Malaysia dan di dunia. Penggunaan mushaf ini selari dengan riwayat bacaan yang tersebar luas di Malaysia dan di dunia iaitu bacaan Imam Asim, Riwayat Hafs Torik (aliran bacaan) Syatibi. Penulisan Rasm Uthmani merupakan sesuatu yang tauqifi (ketentuan Allah) dan bukan daripada ijtihad (buah fikiran) mana-mana pihak.

Pengabaian terhadap penggunaan mushaf Uthmani akan menyebabkan bacaan kurang tepat seperti menambah bacaan huruf-huruf tambahan di dalam penulisan al-Quran, penghentian (waqaf)  bacaan kurang tepat.

Bertepatan dengan nahu  Bahasa Arab.

Iaitu bacaan-bacaan mesti bertepatan dengan salah satu wajah (bentuk) kaedah nahu Bahasa Arab  samada ia fasih atau lebih fasih, yang disepakati atau yang  tidak disepakati selama mana sanad bacaan tersebut tetap sahih.

Berapa banyak bacaan-bacaan al-Quran yang diingkari oleh ahli-ahli nahu bahasa arab tetapi keingkaran mereka tidak diterima kerana ulama-ulama salaf berijma’ menerimanya. Ini kerana jika sesuatu riwayat diakui keesahannya ahli-ahli nahu tidak boleh menolaknya dan dikira sebagai satu kesalahan bahasa kerana bacaan al-Quran adalah sunnah muttabaah yang mesti diterima.

Jika kekurangan salah satu daripada rukun tersebut bacaan itu dikira Syaz (yang meragukan).

Tiada ulasan: