Setiap ibadat mempunyai rukun-rukun yang tersendiri,
begitu juga dengan bacaan al-Quran. Rukun bacaan al-Quran ada tiga.
Sah sanad.
Sanad secara mudah bermakna sandaran, sijil tauliah atau syahadah. Secara
lebih khusus iaitu seseorang membaca al-Quran sehingga khatam daripada
bimbingan guru-guru yang muttaqin lagi bijaksana dan bersambung sanad-sanad
bacaannya sehingga kepada bacaan Rasulullah. Pemeliharaan rukun ini sangat
penting kerana bacaan al-Quran merupakan sebahagian daripada sunnah Nabi s.a.w.
Definisi sebenar
cara penerimaan sanad untuk meyakinkan bahawa bacaan tersebut adalah datangnya
daripada Rasululah s.a.w ialah dengan membaca al-Quran di hadapan guru yang
thiqoh (dipercayai), serta keilmuan guru tersebut dalam bidang al-Quran
diketahui umum dan guru kepadanya juga terkenal di dalam masyarakat. Inilah
dimaksudkan sanad atau sijil ketika menuntut ilmu bacaan al-Quran.
Sanad yang
dikenali umum dalam bentuk sehelai kertas yang dinamakan sijil atau tauliah
merupakan suatu perkara yang baru. Kewujudannya kerana terhakisnya ilmu
daripada hati manusia dan pembohongan serta penipuan berleluasa. Jika diimbas
kepada sirah Rasulullah kita dapati orang yang menanggung al-Quran ketika itu
adalah mereka yang sangat amanah (sahabat-sahabat). Penerimaan mereka terhadap
ilmu yang dipelajari daripada Rasulullah tidak diragui kesahihannya walaupun
ketika itu tidak terdapat sijil dan bentuk-bentuk perakuan bertulis yang lain.
Oleh itu untuk
mengelakkan keraguan dalam bacaan al-Quran, setiap individu muslim hendaklah
mencari kepastian terhadap diri sendiri tentang pembelajaran dan penerimaan di
dalam ilmu al-Quran yang dibaca sekarang. Adakah bacaannya menepati sepenuhnya
sebagaimana bacaan Rasulullah mengajar para sahabatnya iaitu membaca mengikut
kaedah-kaedah tajwid yang ditentukan. Adakah kita membuat kepastian terhadap
guru yang mengajar al-Quran kepada kita. Adakah guru tersebut mengambil dan
menerima sanad daripada pembacaan al-Quran beliau sebelum ini.
Bertepatan dengan mushaf Rasm Uthmani
Iaitu bacaan-bacaan mesti bertepatan dengan salah satu daripada mushaf-mushaf
Rasm Uthmani. Mushaf Kufi adalah salah satu mushaf Rasm Uthmani dan digunakan
secara meluas di Malaysia dan di dunia. Penggunaan mushaf ini selari dengan
riwayat bacaan yang tersebar luas di Malaysia dan di dunia iaitu bacaan Imam
Asim, Riwayat Hafs Torik (aliran bacaan) Syatibi. Penulisan Rasm Uthmani
merupakan sesuatu yang tauqifi (ketentuan Allah) dan bukan daripada ijtihad (buah
fikiran) mana-mana pihak.
Pengabaian
terhadap penggunaan mushaf Uthmani akan menyebabkan bacaan kurang tepat seperti
menambah bacaan huruf-huruf tambahan di dalam penulisan al-Quran, penghentian
(waqaf) bacaan kurang tepat.
Bertepatan dengan nahu Bahasa Arab.
Iaitu
bacaan-bacaan mesti bertepatan dengan salah satu wajah (bentuk) kaedah nahu
Bahasa Arab samada ia fasih atau lebih fasih, yang
disepakati atau yang tidak disepakati
selama mana sanad bacaan tersebut tetap sahih.
Berapa banyak
bacaan-bacaan al-Quran yang diingkari oleh ahli-ahli nahu bahasa arab tetapi
keingkaran mereka tidak diterima kerana ulama-ulama salaf berijma’ menerimanya.
Ini kerana jika sesuatu riwayat diakui keesahannya ahli-ahli nahu tidak boleh
menolaknya dan dikira sebagai satu kesalahan bahasa kerana bacaan al-Quran
adalah sunnah muttabaah yang mesti diterima.
Jika kekurangan
salah satu daripada rukun tersebut bacaan itu dikira Syaz (yang meragukan).